Musim panas lalu, saya menghadiri sebuah majlis perkahwinan sebagai pasangan teman (partner) kepada kawan saya, dan entah bagaimana, saya berjaya menangkap jambangan bunga yang dilemparkan oleh pengantin perempuan. Mengikut kepercayaan, sesiapa yang menangkap bunga tersebut akan menyusul untuk berkahwin tidak lama lagi. Apabila saya membawa bunga itu kembali ke meja, kawan yang menjadi pasangan saya itu mengingatkan saya dengan cara yang agak kasar—dan pada saya tidak perlu—bahawa kami bukanlah pasangan kekasih. Ia satu peringatan yang pedih bahawa saya berada di sana hanyalah untuk memenuhi kerosong dan menjadi teman menari, tetapi saya tidak patut berharap untuk menyarung gaun putih sendiri dalam masa terdekat. Kami hanya kawan.
Dalam banyak hal, saya sukakan majlis perkahwinan. Tetapi kini, saya berada di satu tahap di mana saya hanya akan menghadiri beberapa majlis sahaja dalam setahun. Memang seronok untuk berpakaian cantik dan meraikannya bersama orang terdekat, dan sentiasa menjadi satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada majlis tersebut. Namun, seiring dengan pertambahan usia, perkara itu terasa semakin sukar.
Saya sudah berkali-kali diberitahu bahawa “indah pada waktunya”… Tetapi saya sudah menunggu terlalu lama! Saya rasa seperti terperangkap di luar: berada di dunia bujang dan belum lagi menjadi ahli dalam “dunia rumahtangga” yang telah disertai oleh kebanyakan kawan saya. Saya tidak tahu bila, atau adakah saya akan dapat memasuki dunia perkahwinan itu. Bagi saya, itulah bahagian yang paling sukar sebagai seorang yang masih bujang.
Adalah satu kenyataan yang pahit bahawa saya berbaring di tempat tidur yang dingin, dan ia tetap dingin walaupun tiada siapa yang menarik selimut saya.
Jangan salah faham, ada kelebihan yang saya nikmati. Saya suka dapat melakukan apa yang saya mahu pada bila-bila masa, seronok kerana tidak perlu berbincang dengan sesiapa apabila mahu menonton filem, dan bebas bergaul dengan rakan lelaki tanpa rasa bersalah yang mungkin muncul jika saya “milik” seseorang.
Saya suka mendukung anak-anak rakan saya, tetapi ia juga menjadi peringatan kepada kesunyian saya apabila mereka memanggil ibu mereka dan meninggalkan pelukan saya. Adalah satu kenyataan yang pahit bahawa saya berbaring di tempat tidur yang dingin, dan ia tetap dingin walaupun tiada siapa yang menarik selimut saya. Saya mahukan—tetapi dalam masa yang sama takut—terhadap komitmen hubungan yang serius dan impian untuk mempunyai keluarga kecil sendiri.
Saya sudah mencuba laman janji temu dalam talian (online dating), saya suka bergaul, dan saya berbual dengan orang yang tidak saya kenali. Saya menghabiskan masa lima tahun di universiti di mana ramai kawan saya bertemu dan jatuh cinta dengan pasangan mereka. Saya sudah banyak kali keluar temu janji, dan bertemu ramai lelaki, tetapi sangat sedikit antara mereka yang mendekati ciri-ciri lelaki idaman yang saya harapkan untuk dijadikan pasangan hidup. Dan jika ada yang mendekati kriteria itu, mereka pula bukan untuk saya. Saya masih mendapati diri saya sendirian, dan bertanya-tanya (mungkin secara dramatik): Adakah keadaan akan terus begini? Sendirian, selamanya? Apa salah yang telah saya lakukan?
Saya mendengar hati saya menangis pada malam-malam yang sunyi, mengatakan bahawa saya pasti telah gagal.
Saya tidak tahu apa yang membezakan saya daripada rakan-rakan yang tidak perlu menunggu lama (setidaknya tidak selama penantian saya), tetapi saya tetap mendengar hati saya menangis pada malam-malam yang sunyi, mengatakan bahawa saya pasti telah gagal. Adakah rakan-rakan saya lebih langsing? Lebih cantik? Lebih baik? Adakah mereka membuat pilihan yang lebih bijak? Atau adakah mereka sekadar menerima apa yang ada walaupun kurang daripada apa yang mereka inginkan? Kurang daripada apa yang sebenarnya mereka layak terima? Adakah saya terlalu memilih?
Bukannya saya tidak pernah menjalinkan hubungan yang serius. Dalam semua hubungan yang saya lalui kecuali satu, sayalah orang yang pergi meninggalkan mereka. Saya ditawarkan cinta dan harapan untuk masa depan bersama, tetapi saya takut. Atau saya ego. Atau saya seorang yang dingin. Atau mungkin saya telah melakukan perkara yang betul dengan meninggalkan hubungan tersebut. Rasanya saya tidak akan pernah tahu.Saya rasa tidak berdaya, dan saya rasa masa saya semakin suntuk. Saya sering merasa kesunyian walaupun dikelilingi oleh pasangan suami isteri, tetapi saya telah belajar banyak tentang diri sendiri.
Jika anda bergelut dengan keadaan hidup melajang, tinggalkan maklumat hubungan anda di bawah. Anda boleh menggunakan nama sebenar atau nama samaran. Terpulang kepada anda. Seseorang daripada pasukan kami akan segera menghubungi anda. Anda mungkin merasa kesepian, tetapi anda tidak sendirian.