Sewaktu saya di darjah tiga, saya pernah mengajak seorang kawan untuk bermalam di rumah. Keesokan harinya dia kembali dan berkata, “Mak ayah saya cakap tak boleh sebab mak ayah awak pemabuk.” Saat itulah saya tersedar: keluarga saya tidak normal. Ibu bapa saya adalah penagih alkohol. Seluruh aspek kehidupan mereka berputar di sekitar minuman keras; itulah satu-satunya perkara yang saya kenali sejak kecil.

Kenyataan menjadi semakin pahit apabila saya dan adik lelaki saya makan malam di rumah keluarga lain. Tiada minuman keras, tiada pertengkaran. Mereka bermain dan berseronok bersama. Kami cepat belajar bahawa kami lebih selamat jika berada jauh dari rumah, jadi kami cuba pergi sejauh mungkin. Pak cik kami tinggal tidak jauh dari situ, jadi kadangkala kami bermalam di sana apabila ibu bapa kami mula minum dan bertengkar tanpa kawalan. Apabila pulang ke rumah keesokan paginya, sering kali kami mendapati rumah bersepah, dengan perabot rosak dan serpihan pinggan mangkuk di sana sini.

Saya sering menyendiri di loteng, bilik tidur saya, tetapi tempat itu tidak memberikan ketenangan yang diharapkan. Saya masih boleh mendengar ibu bapa saya saling memaki dan menyakiti secara fizikal dari bilik mereka di bawah. Tidak sepatutnya seorang anak mendengar apa yang saya dengar. Atau melihat apa yang saya lihat. Ayah saya tidak tahu, tetapi saya melihat dia menolak ibu saya dengan begitu kuat sehingga ibu terpaksa dimasukkan ke hospital kerana patah tulang pinggul.

Apabila ayah tidak mengamuk kerana mabuk, dia menjadi seorang yang sangat sedih. Kadang-kadang dia pulang dan mengejutkan saya dari tidur hanya untuk menceritakan penderitaannya, dan sudah tentu, sebagai seorang kanak-kanak, saya hanya duduk di situ memerhatikan ayah menangis. Saya menjadi mati rasa. Saya ingat pernah terfikir, “Saya tak tahu apa yang patut saya buat dengan semua ini.”

Saya sampai ke satu tahap di mana saya tertanya-tanya sama ada hidup ini benar-benar berbaloi untuk diteruskan. Saya merenung pokok besar di luar tingkap dan membayangkan diri saya menggantung diri. Saya bahkan sempat membuat batu nisan sendiri daripada kepingan papan kayu nipis. Kadang-kadang saya tertanya-tanya sama ada benda itu masih ada di loteng, tersembunyi di bawah permaidani yang longgar.

Tidak sepatutnya seorang anak mendengar apa yang saya dengar atau melihat apa yang saya lihat.

“Tiket” saya untuk keluar dari situ adalah pencapaian akademik yang membawa saya masuk ke universiti. Saya berjaya dengan sangat baik sehingga tersenarai dalam senarai dekan. Apabila ayah mendengarnya, buat pertama dan terakhir kalinya dia berkata bahawa dia bangga dengan saya. Itulah salah satu daripada dua saat di mana saya tahu dia benar-benar memerhatikan hidup saya.

Saya memang tidak menjadi penagih, tetapi kesan alkohol itu tetap melekat dalam hidup saya. Membesar dalam keluarga yang begitu pincang (disfunctional) menyebabkan saya tidak mempunyai rujukan tentang bagaimana rupa sebuah keluarga yang sebenar. Apabila saya menjadi seorang suami dan bapa, saya merasa seperti meneroka wilayah asing, berusaha memahami apa itu yang dikatakan sebagai “normal.”

Terdapat juga luka emosi yang tertinggal. Saya tidak pernah melihat ibu bapa saya menguruskan emosi negatif tanpa alkohol, dan mereka tidak pernah mengakui perasaan kami sebagai anak-anak. Jika ada di antara kami yang mula menangis, ayah akan berkata, “Berhenti menangis atau aku akan buat kau benar-benar ada sebab untuk menangis.” Saya teringat saat memeluk ibu ketika saya di universiti. Tubuhnya kaku seperti papan. Dia tidak tahu bagaimana cara menerima kelembutan, manakala saya pula baru belajar untuk memberikannya.

Bertahun-tahun saya hidup dengan banyak kekecewaan. Saya sering menoleh ke belakang dan berharap saya dibesarkan dalam keluarga yang berbeza. Lagu “kasihanilah aku” terus berputar di minda: kenapa aku harus membesar begini? Saya memendam kepahitan dan kemarahan, terutamanya terhadap ayah; dan ia mula memakan diri saya dari dalam.

Saya tahu saya harus belajar memaafkan atau kepahitan itu akan mengawal hidup saya.

Beberapa tahun di universiti, seseorang memberitahu saya bahawa saya perlu memaafkan ayah dan belajar mencintainya. Saya sedar bahawa saya mempunyai dua pilihan. Saya boleh terus berasa pahit, marah, dan merasa dirampas haknya – yang mana saya tahu tidak akan membawa kebaikan kepada diri saya atau hubungan saya dengan orang lain. Atau, saya boleh menerima segala perkara baik dan buruk daripada cara saya dibesarkan, dan menerima bahawa ibu bapa saya hanyalah manusia biasa yang mempunyai kelemahan. Saya tahu saya harus belajar memaafkan atau kepahitan itu akan menguasai hidup saya.

Akhirnya saya mampu berkata kepadanya, “Ayah, saya sayang ayah,” tanpa ada sebarang “tapi” atau rungutan. Itu membuka semula hubungan kami. Dia menjadi lebih terbuka. Suatu hari, saya menulis surat untuk ayah. Saya dengan sengaja menulis semua perkara baik yang boleh saya ingat tentang dirinya. Dia tidak pernah membalas, mungkin kerana dia tidak pernah belajar menulis. Tetapi ibu membalas. Dia menulis, “Ayah kamu membaca surat kamu dan dia menangis. Saya rasa itulah yang dia perlukan.” Itu adalah saat yang sangat bermakna bagi saya. Ada perubahan nyata dalam hubungan kami sebelum dia meninggal dunia pada tahun 1989.

Adakah anda mempunyai ibu bapa yang ketagihan alkohol? Adakah terdapat luka yang belum selesai anda hadapi? Anda tidak sendirian. Walaupun anda hanya ingin berkongsi pengalaman, seseorang daripada pasukan kami sedia mendengar. Tinggalkan maklumat hubungan anda di bawah dan kami akan segera menghubungi anda.

Inisial penulis digunakan demi privasi.